KUALA TERENGGANU, 17 Nov – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menawarkan tawaran lebih menarik dan diskaun lebih tinggi pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, Program Jualan Keluarga Malaysia yang telah dimulakan oleh beliau sendiri pada Disember 2021 itu akan diteruskan ke arah yang lebih baik.

“Program ini sebenarnya bermula daripada idea saya apabila saya adakan di daerah-daerah Hulu Terengganu merangkumi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada setiap minggu. Dengan menawarkan jualan murah sehingga 30 peratus, ia mendapat sambutan luar biasa.

“Awalnya, kita belanja RM5,000 seminggu untuk diskaun 30 peratus ini. Apabila melihat kepada sambutan itu, saya ‘angkat’ (mohon) kepada pusat (kementerian) dan alhamdulillah kerajaan bersetuju,” katanya ketika ditemui media pada Program Jualan Keluarga Malaysia di Kampung Batu Hampar, Manir di sini pada Khamis.

Rosol berharap program yang berpaksikan kepada rakyat itu dapat diteruskan bagi memberi manfaat kepada golongan sasar terutama keluarga yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan harga lebih murah.

“Harapan saya supaya program ini akan diteruskan dan jika saya diberi mandat (menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15), saya berjanji untuk buat lebih hebat lagi daripada apa yang telah dilakukan sekarang dengan tawaran menarik dan diskaun yang lebih memberangsangkan,” katanya yang juga calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Hulu Terengganu.

Berhubung program itu, Rosol berkata, lebih 600 lokasi melibatkan DUN di seluruh Malaysia telah diadakan sejak ia bermula, manakala bagi daerah Hulu Terengganu telahpun mencapai 100 peratus.

“Di daerah Hulu Terengganu, semua daerah kita dah buat, alhamdulillah,” katanya.