MACHANG, 17 Nov – Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Machang, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tidak bersetuju Perikatan Nasional (PN) dikaitkan dengan BN dalam pentadbiran jika menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, beliau menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan PN yang akan membuat keputusan selepas PRU15.

Beliau berpendapat, PN sebenarnya mampu menubuhkan kerajaan sendiri tanpa gabungan dengan mana-mana pihak.

“Dasar parti sebelum ini ialah tiada kerjasama dengan mana-mana pihak dan jajaran baharu yang dikaitkan selepas Malaysia memilih diharap tidak berlaku,” katanya ketika ditemui di Machang.

Wan Ahmad Fayhsal memberitahu, sebelum ini tiada sebarang perbincangan rasmi dalam PN mengenai gabungan pemerintahan bersama parti lain.

“Jika ada perubahan selepas ini terpulang kepada kepimpinan tertinggi parti tetapi ketika ini gabungan kami mampu mentadbir Putrajaya.

“Semua perundingan akan berlangsung melalui wadah rasmi dalam PAS dan BERSATU. Kita tunggu selepas 19 November,” katanya.

Pada Rabu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi pendirian tidak akan bekerjasama dengan gabungan politik lain untuk membentuk kerajaan selepas PRU15.

Beliau turut meminta bukti kerana menyifatkan dakwaan itu cuba mempengaruhi sentimen pengundi yang dilihat mula menyokong PN.