PAGOH, 17 Nov – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak dakwaan teguran beliau kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan susulan kerjasama dengan Barisan (BN) menggambarkan bahawa gabungan itu sedang bergolak.

Beliau berkata, hubungan antara pemimpin dalam parti komponen PN cukup utuh tidak seperti BN yang sedang berpecah-belah menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Tidak ada pergolakan dalam PN. Dalam BN lagi teruk.

“Malam ini saya dengan tuan guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang) akan kempen di Muar. Kami tiada masalah, mereka nak kata macam mereka (BN), mereka banyak masalah perpecahan, hancur lebur, calon patut bertanding tak boleh bertanding tersingkir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program bersama sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Bukit Pasir, pada Rabu.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, pihak yang menuduh kononnya PN bergolak dibuat tanpa asas kukuh.

“Kenyataan asal Takiyuddin tidak dipetik secara betul dan tepat (berhubung kerjasama dengan BN) dan Takiyuddin sudah betulkan.

“Saya sudah betulkan, tuan guru Hadi pun sudah betulkan di mana pendirian kita ialah, PN dalam masa hadapi PRU15 kita bertegas kita bertanding atas PN, saya tak fikir soal gabungan mana.

“Kalau saya kata PN nak bergabung… orang akan kata apa guna sokong PN dia nak masuk kerjasama dengan puak Zahid Hamidi kluster mahkamah, bodoh lah saya. Sebab itu kita ambil kenyataan sangat jelas kami bertanding atas PN, apa kita tawarkan dalam PN, apakah ada kaitan dengan BN, tak ada,” katanya.

Susulan itu Hadi dan Muhyiddin tampil menjelaskan bahawa PN akan membentuk kerajaan secara solo dan tiada sebarang kerjasama dengan BN.