KUALA LUMPUR, 17 Nov – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap sokongan terhadap PN akan terus membesar untuk membawa perubahan kepada Malaysia yang lebih baik.

Dengan itu, kata beliau, ia akan membawa gelombang ‘tsunami’ yang dapat membersihkan ‘sampah sarap’ yang mencemari politik tanah air.

Calon PN Pagoh itu mendakwa beliau melihat sambutan hebat yang diberikan orang ramai ketika menjalankan siri kempen di serata negara, khususnya dari masyarakat Melayu.

“Ada kesepaduan dari segi cita-cita dan harapan rakyat Malaysia yang didukungi oleh sebahagian besar orang Melayu untuk melihat satu perubahan besar.

“Kita menawarkan sesuatu yang baharu dan bertenaga yang saya fikir boleh kita laksanakan dan ini yang saya fikir menjadi cita-cita sebahagian besar rakyat Malaysia,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Beliau sendiri tidak menyangkakan kehadiran ramai khalayak dalam siri rapat umum yang diadakan, yang katanya mencerminkan bahawa mereka percaya dengan tawaran PN untuk menjamin masa depan kehidupan mereka dan anak serta cucu mereka.

Muhyiddin yakin sokongan akan diterjemahkan mereka kepada undi kepada PN pada 19 November nanti.

“Saya harap ia akan menjadi satu tsunami yang boleh membersihkan ‘sampah sarap’ politik yang sudah rosak dalam Malaysia ini,” katanya.