KUALA LUMPUR, 17 Nov – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki memberi isyarat Pakatan Harapan (PH) sedia salah guna kuasa.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata ia menunjukkan PH mempunyai rancangan untuk menyalahgunakan kuasa terhadap penjawat awam yang menjalankan tugas mereka.

“Ini akan mempunyai kesan buruk terhadap kesemua penjawat awam yang kian lama telah menjalankan tugas mereka dengan ikhlas dan tanpa berpihak.

“Tidak pernah dalam sejarah negara, seorang pemimpin utama sebuah gabungan politik besar iaitu PH, membuat pengakuan terbuka akan menyalahguna kuasa untuk membalas dendam terhadap penjawat awam,” katanya menurut laporan MalaysiaNow.

Terdahulu, Rafizi mengecam tindakan yang disifatkan sebagai sebuah “serbuan” oleh SPRM di pejabat Invoke Solution, sebuah syarikat yang dipimpinnya.

Dalam ceramah pilihan raya malam tadi, Rafizi berkata kerajaan PH akan “datang mencari” Azam jika memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hujung minggu ini.

“Sabtu kita mengundi, lepas menang pilihan raya kami cari Azam Baki, insya Allah” katanya dalam laporan media.

Ahmad Faizal berkata Rafizi dan pemimpin PH lain menganggap mereka terkecuali daripada undang-undang dan tindakan penguatkuasaan, memetik tindakan menggugurkan pertuduhan terhadap pemimpin DAP Lim Guan Eng pada 2018 selepas PH mengambil alih Putrajaya.

Beliau turut menggesa calon perdana menteri PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menyatakan pendirian mengenai perkara itu.

“Adakah PH dan Anwar sedia menarik balik ugutan terhadap ketua pesuruhjaya SPRM dan meminta maaf kepada kesemua penjawat awam negara?”