TASEK GELUGOR, 18 Nov – Pengundi, terutamanya golongan anak muda diseru tidak melepaskan peluang untuk membentuk semula negara dengan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini dengan memilih Perikatan Nasional (PN).

Bekas calon PAS Parlimen Tasek Gelugor pada PRU14, Rizal Hafiz Ruslan berkata calon PN Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dilihat mampu membawa mesej dan suara pengundi di parlimen ini.

Katanya, peluang mengundi tidak boleh disia-siakan kerana ia hanya datang sekali dalam masa lima tahun.

“Bagi memastikan perubahan dapat dilakukan, calon yang dipilih mestilah seorang yang berani, jujur, berintegriti, bijak, kompeten, bertanggungjawab, sanggup membela nasib rakyat dan paling penting bebas rasuah.

“Sudah pasti isu-isu yang sangat dekat dengan rakyat di sini terutamanya isu pesawah, peluang pekerjaan, isu anak-anak muda, membela nasib wanita B40 dan ibu tinggal serta isu pencemaran.

“Kita yakin bahawa semua isu yang dinyatakan tadi dapat dilaksanakan beliau,” katanya yang menyokong penuh pencalonan Wan Saiful mewakili PN bagi Parlimen Tasek Gelugor, pada sidang media baru-baru ini.

Tambah Rizal, rakyat Malaysia sudah tentu mahukan politik, ekonomi, sosial, teknologi, alam sekitar dan perundangan yang ada peradaban dan tamadun negara dibina atas dasar nilai yang mulia.

“Kita mahu profesional dan cerdik pandai kita menjadi menteri, yang ada moral yang tinggi dan bukan penipu serta mementingkan diri sendiri.

“Kita mahu Malaysia yang lebih bermaruah dan mulia, bukan terkenal kerana rasuah dan salah guna kuasa.

“Kita mahu pemimpin jujur yang menerajui rakyat dengan ikhlas, menggalakkan Malaysia kreatif dan berdaya saing serta teguh berpegang kepada integriti dan tata budaya negara kita. Kerana itulah kita semua mesti turun mengundi,” katanya.

Beliau juga turut menasihatkan semua pengundi agar menentukan masa depan negara dengan bijak dan jangan biarkan orang lain tentukan masa depan mereka.

“Sekarang mandat diserahkan kembali kepada rakyat. Jom kita keluar mengundi beramai-ramai untuk menentukan masa depan negara.

“Kita pilih orang dan parti yang lebih baik daripada yang ada sekarang, iaitu Perikatan Nasional (PN).