KUALA LUMPUR, 18 Nov – Sebanyak 185 Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi sokongan penuh kepada calon Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) esok.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata gabungan parti PN yang terdiri daripada BERSATU, PAS dan Gerakan mampu membentuk sebuah negara yang bersih dan berintegriti.

“Amat gusar melihat sokongan politik orang Melayu berpecah dalam PRU ke-15 ini dan kesannya DAP akan menguasai Kerajaan Malaysia melalui gabungan parti Pakatan Harapan.

“Sehubungan itu UMMAH dan Gabungan NGO Islam menyeru dan merayu Umat Islam seluruh Malaysia agar wajib (Fikh Al-Daulah) keluar mengundi dan menyatukan undi hanya kepada satu gabungan parti yang jelas mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara, serta bersih daripada rasuah, berwibawa dan berusaha memperkasa penyatuan ummah,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Berdasarkan pemerhatian dan penilaian parti-parti yang bertanding, Mohd Zai percaya Muhyiddin menepati kriteria sebagai seorang pemimpin yang mampu menjaga kestabilan negara dan menjamin kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Perbandingan dua calon Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Muhyiddin lebih memenuhi kriteria menjaga agama, bangsa dan negara serta menghormati bangsa dan agama yang lain

“Berdasarkan prestasi yang lepas Muhyiddin berjaya mengurus tadbir negara dengan baik dan berjaya mengemudi negara berdepan dengan masalah besar Covid-19 dan kesuraman terhadap ekonomi negara,” jelasnya.

Justeru, UMMAH bersama gabungan lebih 185 NGO Islam terdiri daripada golongan profesional dan agamawan sebulat suara menyokong Muhyiddin dan berharap orang ramai akan keluar mengundi pemimpin yang berwibawa, pada hari esok.