KUALA LUMPUR, 18 Nov – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Setiawangsa, Nurul Fadzilah Kamaluddin percaya mampu memberikan khidmat terbaik sekiranya dipilih di Parlimen tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, pengundi di kawasan itu juga boleh mengharapkan baktinya walaupun beliau merupakan calon yang agak muda berbanding calon parti lain.

“Saya juga ingin maklumkan kepada semua bahawa usia muda tidak semestinya tidak mampu buat kerja. Ini adalah masa terbaik untuk menunjukkan gelombang anak muda sebagai wakil rakyat.

“Usia muda tak semestinya tidak boleh untuk turun padang kerana sebenarnya kita perlukan lebih ramai anak muda di lapangan. Anak muda ini lebih progresif, lebih aktif dan boleh turun membantu lebih ramai orang,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau juga mengharapkan penduduk Setiawangsa memberi peluang dan mengundinya pada Sabtu ini sekali gus memastikan kemenangan PN di kawasan Parlimen Setiawangsa.

“Jadi, kepada semua penduduk Setiawangsa, turun mengundi pada hari mengundi esok kerana satu undi mewakili kita semua, satu undi mewakili masa depan kita dan satu undi menentukan segalanya.

“Tolong turun beri peluang kepada anak muda yang baharu ini untuk berbakti dan berkhidmat kepada anda semua.

“Nurul Fadzilah ini adalah seseorang yang suka aktiviti kebajikan, aktiviti kemasyarakatan, seorang yang sangat suka turun padang, sangat prihatin.

“Siapa pun (rakyat) yang dalam kesusahan, Nurul Fadzilah pasti akan tampil ke hadapan terlebih dahulu. Saya sedia berkhidmat untuk kawasan Setiawangsa,” katanya.