PUTRAJAYA, 18 Nov – Pakatan Harapan (PH) didakwa rakus dan zalim ketika menerajui Kerajaan Persekutuan apabila menekan pegawai dan anggota kerajaan.

Perkara itu dinyatakan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menyifatkan pentadbiran 22 bulan PH sudah cukup untuk membuktikan watak PH yang sentiasa bersikap angkuh dan sombong.

Memberi contoh kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang mengugut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, katanya ia satu bukti kenyataan PH yang angkuh dan sombong.

“Ini pun bukan kali pertama‚Ķketika PH membentuk kerajaan dalam mesyuarat Jemaah Menteri saya ada dalam itu, mereka mendesak Perdana Menteri untuk menukar lapan ketua setiausaha.

“Ini tidak pernah berlaku, mengapa PH ingin bergaduh dengan anggota perkhidmatan awam, mereka bukan orang politik.

“Anggota perkhidmatan melaksanakan dasar diputuskan kerajaan, jadi jangan bermusuh dengan anggota perkhidmatan awam kerana ia tidak ada keperluan.

“Tapi mungkin ini sudah ditakdirkan begitu, jadi anggota perkhidmatan awam boleh melihat sendiri watak PH yang senantiasa bersikap angkuh dan sombong dan cuba mendera anggota perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah pada majlis rapat umum PN di sini malam ini.

Rafizi ketika Ceramah Mega PH di Johor Bahru malam tadi, memberikan amaran kepada Azam sekiranya gabungan itu menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini, susulan serbuan dilakukan SPRM terhadap syarikatnya, Invoke Solutions Sdn Bhd.

“Esok (hari ini) kita jumpa di mahkamah, lusa (Jumaat) satu hari lagi kempen, Sabtu kita mengundi. Lepas menang pilihan raya kami cari Azam Baki, Insya Allah,” demikian kata Rafizi.

Sementara itu Mohamed Azmin ketika ditanya mengenai saman bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terhadapnya, berkata itu terpulang hak masing-masing.

“Saya hanya mengemukakan beberapa perkara yang menyebabkan PH ditolak oleh rakyat, bukan sahaja orang Melayu marah tapi semua rakyat Malaysia merasakan tidak ada tempat dan ruang di bawah PH,” katanya.