KUALA BERANG, 18 Nov – BERSATU Bahagian Hulu Terengganu menafikan dakwaan empat cawangan bahagian itu dibubarkan.

Setiausah BERSATU Hulu Terengganu, Mohd Zawawi Ismail berkata laporan Cawangan Kampung Bukit Apit, Felda Mengkawang, Pengkalan Ajal dan Kampung Payang Kayu dibubarkan tidak berasas.

Beliau berkata hakikatnya semua empat cawangan BERSATU masih wujud dan mempunyai ramai keahlian aktif.

Menurutnya, dakwaan itu hanya gimik politik murahan individu terdesak yang berniat jahat menjatuhkan moral serta kesepaduan Ahli Jawatankuasa (AJK) dan ahli BERSATU Hulu Terengganu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), esok.

Katanya, individu yang mendakwa cawangan BERSATU dibubarkan dan ditutup adalah AJK yang bermasalah dan tidak memahami perlembagaan parti serta undang-undang pertubuhan.

“Mereka tiada hak dan kuasa untuk membubarkan atau menutup mana-mana cawangan atau bahagian parti.

“Pengunduran beberapa AJK cawangan yang bermasalah itu tidak memberi kesan atau menjejaskan parti,” katanya.

Zawawi berkata bekas Setiausaha BERSATU Bahagian Hulu Terengganu, Zamani Mamat sudah lama meninggalkan parti selepas tewas kepada Datuk Rosol Wahid dalam pemilihan jawatan Ketua Bahagian.

Tambahnya, Alias Abdullah adalah bekas Pengerusi Penyelaras BERSATU DUN Ajil yang tidak aktif selepas dilantik sebagai pengurus syarikat perniagaan kepada calon Barisan Nasional (BN).

“Seluruh BERSATU Bahagian Hulu Terengganu termasuk 15 cawangan menyatakan sokongan penuh kepada kepemimpinan Datuk Rosol Wahid sebagai Ketua Bahagian yang juga calon BERSATU yang bertanding atas tiket PAS bagi kerusi Parlimen Hulu Terengganu untuk PRU15.

“Pihak yang berkenaan diingatkan supaya tidak membuat kenyataan tidak berasas mengenai BERSATU Hulu Terengganu semata-mata untuk memenuhi agenda politik pihak tertentu,” katanya.