GOMBAK, 19 Nov – Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai Yahudi dan Kristian yang tular, didakwa tidak akan menjejaskan gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ia memandangkan rakyat sudah matang dan sedar bahawa ucapan Muhyiddin dimanipulasi oleh pihak tertentu.

“Muhyiddin juga mengeluarkan kenyataan bertulis bahawa kenyataannya diambil di luar konteks. Saya percaya rakyat tidak akan mudah terpedaya dengan perkara itu.

“Kepemimpinan Muhyiddin membuktikan bahawa kita sentiasa fokus untuk memastikan keharmonian rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” katanya ketika ditemui selepas mengundi di Parlimen Gombak di Sekolah Kebangsaan (SK) Klang Gate, di sini hari ini.

Semalam, Muhyiddin menjelaskan kenyataannya dalam sebuah ceramah di Johor yang tular di media sosial, sengaja disunting dan diambil di luar konteks sebenar.

Dalam rakaman sebuah ceramah di Johor pada Jumaat lalu, Muhyiddin dikatakan mendakwa kumpulan Yahudi mahukan Pakatan Harapan (PH) menang dalam PRU15, selain mengatakan PH bekerjasama dengan Yahudi serta orang Kristian untuk ‘menjajah’ negara.

Katanya, video berdurasi satu minit 35 saat yang disebarkan melalui TikTok itu sengaja diedarkan pihak lawan untuk mencemarkan imej beliau, selain bertujuan mewujudkan naratif palsu.

Terdahulu, Azmin yang ditemani isterinya, Datin Seri Shamshidar Taharin tiba di sekolah itu pada jam 8.35 pagi.

Azmin berdepan saingan lima penjuru membabitkan calon Nasional (BN), Datuk Megat Zulkarnain Omardin; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (PH), Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir (PEJUANG) dan Zulkifli Ahmad (Bebas).