KUALA LUMPUR, 19 Nov – Tangkap layar perbualan WhatsApp yang meminta ahli PAS menyokong calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah palsu.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Facebook beliau hari ini.

“Tangkap layar tersebut adalah palsu,” katanya.

Menerusi tangkap layar palsu itu, menunjukkan perbualan kumpulan WhatsApp PN Johor 2022 apabila calon Parlimen PN Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon mempersoal keputusan Majlis Tertinggi PN yang bersetuju agar ahli Pas mengundi calon BN.

Namun dalam mesej didakwa palsu itu, Muhyiddin kononnya membalas soalan itu dengan memberikan alasan bahawa mereka memerlukan sokongan untuk menjadi sebahagian pembentukan Kerajaan Persekutuan kelak.