PAGOH, 19 Nov – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar, di sini, pada jam 9.15 pagi tadi.

Beliau yang juga calon PN di kerusi Parlimen Pagoh, tiba di pusat mengundi itu kira-kira jam 9.00 pagi bersama isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

“Saya dan isteri telah selesai menunaikan tanggungjawab mengundi, sebentar tadi,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Muhyiddin bertanding untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh dengan dicabar Datuk Seri Razali Ibrahim yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan Iskandar Shah daripada Pakatan Harapan (PH).