TAMBUN, 19 Nov – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta tidak mengheret keputusan pengiraan undi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hingga melewati waktu tengah malam.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata ini kerana SPR mempunyai petugas yang mencukupi selain penggunaan teknologi yang boleh mempercepat dan melancarkan urusan berkenaan.

“Saya harap jangan lama sangat. Dunia makin hari makin maju. Lagi pun SPR ada cukup petugas.

“Saya fikir nak kira undi bukan terlalu sulit. Harap tak perlu tunggu sampai tengah malam. Saya juga harapkan semuanya berjalan lancar,” katanya selepas hadir mengundi di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Ihtidayah Tambun Height di sini, pagi tadi.

Terdahulu, Ahmad Faizal yang juga calon PN kerusi Parlimen Tambun tiba bersama isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin kira-kira jam 7.55 pagi.

Mengenai peluang untuk mengekalkan kerusi yang disandangnya itu, Ahmad Faizal optimis PN mampu mencapai kejayaan bersandarkan gelombang sokongan terhadap gabungan parti di seluruh negara.

“Secara jujurnya selepas dua minggu berkempen, saya rasa ada gelombang di seluruh negara yang menyokong PN …sangat menggalakkan,” katanya.

Berkenaan calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang meninggal dunia pagi tadi, Ahmad Faizal berharap SPR dapat membuat satu keputusan yang baik untuk semua pihak.

Kepada keluarga Allahyarham, beliau mengucapkan takziah sambil mendoakan rohnya dicucuri rahmat.

“Saya rasa amat berduka cita dan ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga beliau dan kita sama-sama doakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama-saa orang beriman serta beramal soleh,” katanya.