PUTRAJAYA, 19 Nov – Naib Presiden BERSATU Malaysia, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menasihatkan pengundi mengambil kesempatan cuaca yang agak cerah pagi ini untuk keluar mengundi.

Menurut beliau, langkah itu bagi melancarkan proses pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), hari ini.

“Harap ramai-ramai keluar mengundi sebelum tengahari. Saya melihat kehadiran pengundi pada pagi ini amat baik,” katanya selepas selesai mengundi di Sekolah Rendah Agama An-Najah di Presint 9.

Beliau hadir jam 8.20 pagi dan mengambil pendekatan untuk beratur bersama-sama pengundi lain di saluran 3.

Radzi selesai mengundi jam 9.10 pagi bersama isterinya, Datin Balkis Zakaria.

Radzi yang juga calon Perikatan Nasional (PN) di Putrajaya menjangkakan jumlah pengundi akan tinggi terutamanya pada sesi pagi.

Cuaca di Putrajaya pagi ini mendung dengan hujan renyai-renyai sejak jam 5 pagi tadi.