KUALA LUMPUR, 20 Nov – Gabungan parti-parti politik yang dipersetujui perlu mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri Ke-10 kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang esok.

Ia selepas Istana Negara menerima keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada jam 1.15 tengah hari tadi.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata dokumen dikemukakan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh jelas menyatakan tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu.

Justeru, katanya, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan ketua parti dan ketua gabungan parti politik dengan jumlah kerusi yang banyak memaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun bagi pembentukan kerajaan baharu.

Beliau berkata, makluman berkenaan adalah mengenai gabungan parti politik yang telah dipersetujui antara parti-parti dn gabungan parti-parti politik berkenaan bagi pembentukan kerajaan baharu pasca PRU15.

Katanya lagi, mereka akan diminta Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang esok.

“Selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, titah perkenan dan keputusan Seri Paduka berkenaan pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Perdana Menteri menerusi proses yang sudah dijelaskan adalah muktamad.

“Seri Paduka menasihati rakyat dan ketua parti-parti politik akur dan menghormati proses demokrasi serta menerima keputusan PRU15 dengan tenang serta berlapang dada demi menjaga keutuhan negara kerana negara ini umpama harta pusaka di mana pemimpin adalah pemegang amanahnya.

“Baginda turut mengingatkan bahawa negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan berintegriti untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan memacu agenda kesejahteraan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Fadil juga memaklumkan, Seri Paduka mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan dan kemakmuran negara.

“Baginda seterusnya turut mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya.

Terdahulu awal pagi tadi, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata PN sedia bekerjasama dengan mana-mana parti kecuali Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan yang bersih dan stabil.

Beliau yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh pada PRU15, turut memaklumkan gabungan diterajuinya akan mengadakan perbincangan dengan pimpinan parti dari Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat.