IPOH, 20 Nov – Armada BERSATU Tanjung Malim meminta seluruh kepemimpinan Armada negeri menyokong ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Padzi Paharuddin sebagai calon Menteri Besar.

Ketua Armada BERSATU Tanjung Malim, Azirul Syafiq Sazali berkata, Zainol Fadzi adalah tokoh yang berpengalaman dan sangat memahami isu dan masalah rakyat.

Katanya, Zainol Fadzi sudah beberapa penggal mewakili rakyat di peringkat kerajaan negeri mahupun di kawasan DUN Sungai Manik.

“Harapan kami di peringkat akar umbi supaya dapat mengangkat tokoh yang sangat berwibawa.

“Beliau mampu menerajui kepimpinan negeri dan pentadbiran dalam segala aspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Perikatan Nasional (PN) menang 26 kerusi, Pakatan Harapan (PH) 24 kerusi, manakala Barisan Nasional (BN) sembilan kerusi di negeri ini.

Setakat ini belum ada mana-mana parti yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.

Terdahulu hari ini, Setiausaha PN Perak, Razman Zakaria berkata, PN Perak akan mengadakan perbincangan dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri.

Zainol Fadzi, 56, disebut- sebut antara calon Menteri Besar selain Razman yang juga Pesuruhjaya Pas Perak.