TANJONG KARANG, 20 Nov – Ahli Parlimen Tanjong Karang yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi mengakui ketiadaan penyandang kerusi itu, Tan Sri Noh Omar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), semalam, memberi kelebihan untuknya menawan kubu kuat terakhir Barisan Nasional (BN) itu.

Dr Zulkafperi yang mendapat majoriti 2,180 undi berkata, pada awalnya beliau diatur bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh.

Bagaimanapun, katanya, beliau kemudian bertukar ke Tanjong Karang dan kemenangan itu membolehkannya berkhidmat kepada rakyat terutama memperkasakan lagi sektor pertanian di Parlimen itu.

“Pada PRU14 lalu, saya berdepan dengan Noh, namun kemenangan tidak menyebelahi saya apabila tewas dengan majoriti 1,970 undi.

“Bagaimanapun, PRU15 kali ini tidak ditandingi Noh, sekali gus memberi satu kelebihan besar kepada saya menang di sini. Saya akan menabur bakti terbaik di kawasan ini,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Dr Zulkafperi memenangi kerusi Parlimen Tanjong Karang dengan majoriti 2,180 undi selepas menewaskan calon BN, Datuk Habibah Mohd Yusof (15,874) dan Siti Rahayu Baharin dari Pakatan Harapan (PH) yang memperoleh undi 12,314.

Turut tewas, calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Azlan Sani Zawawi yang memperoleh 3,557 undi, manakala calon Bebas, Mohd Rosni Mastol dengan 1,406 undi.

Dr Zulkafperi berkata, beliau bersyukur kerana proses PRU15 berjalan lancar termasuk kempen yang disokong kuat jentera PAS Tanjong Karang.

“Selepas ini, saya mahu membina Pusat Transformasi Bandar (UTC) bagi merancakkan lagi sektor ekonomi dan infrastruktur sedia ada.

“Kita tidak mahu Tanjong Karang dilabel pekan ‘koboi’ sedangkan banyak potensi pembangunan boleh dilaksanakan terutama menjadi hab pertanian dan sawah padi di Selangor,” katanya.