IPOH, 20 Nov – Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi 26 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan itu bagaimanapun belum mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri yang memerlukan majoriti mudah 30 kerusi.

Kerusi-kerusi yang dimenangi PN ialah DUN Pengkalan Hulu, Temengor, Selama, Kubu Gajah, Batu Kurau, Titi Serong, Kuala Kurau, Alor Pongsu, Gunung Semanggol dan Selinsing.

PN turut menang di Kuala Sepetang, Trong, Changkat Jering, Chenderoh, Lubok Merbau, Kamunting, Manjoi, Bukit Chandan, Manong, Sungai Manik, Kampung Gajah, Pasir Panjang, Pangkor, Changkat Jong, Bota dan Slim.

Sebanyak lima kerusi yang dimenangi pada PRU14 lalu iaitu Selama, Kubu Gajah, Kuala Kurau, Gunung Semanggol dan Sungai Manik juga berjaya dikekalkan, manakala 21 kerusi lagi pertama kali dimenangi gabungan tersebut.

PH pula berjaya memperoleh 24 kerusi yang dimenangi sebelum ini iaitu DUN Pokok Assam, Aulong, Jalong, Hulu Kinta, Canning, Tebing Tinggi, Pasir Pinji, Bercham, Kepayang, Buntong, Jelapang, Menglembu, Tronoh, Pantai Remis, Astaka, Malim Nawar, Keranji, Tualang Sekah, Sungai Rapat, Simpang Pulai, Teja, Hutan Melintang, Pasir Bedamar dan Sungkai.

Pada PRU15 kali ini turut menyaksikan PH kehilangan empat kerusi yang diwakili Parti Amanah Negara (Amanah) iaitu DUN Manjoi, Pasir Panjang, Kamunting dan Behrang manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya merampas kembali Hutan Melintang serta memenangi Tualang Sekah buat pertama kali.

Sementara itu BN pula kehilangan banyak tempat apabila sekadar memperoleh sembilan kerusi iaitu di DUN Temengor, Kota Tampan, Lintang, Belanja, Pengkalan Baharu, Chenderiang, Ayer Kuning, Rungkup dan Behrang.

Antara pemimpin yang kecundang termasuklah bekas Exco kerajaan negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin dan Khairul Shahril Mohamed.

Selain itu, Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi; Ketua Puteri UMNO Perak, Rohaida Mohamad Yaakub dan bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Datuk Sham Mat Sahat turut tewas.