MACHANG, 20 Nov – Gelombang pengundi muda dan pengalaman sebagai timbalan menteri memberi kelebihan kepada Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memenangi kerusi Parlimen Machang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Wan Ahmad Fayhsal berkata, kemenangan itu menjadi satu mandat dan amanah kepadanya untuk menunaikan manifesto dan janji-janji yang telah diumumkan untuk rakyat di kawasan ini.

“Sebenarnya saya agak terkejut dengan keputusan rasmi yang diumumkan itu. Kerana baru sebulan berada di Machang tapi rakyat di kawasan ini memberikan kepercayaan kepada saya.

“Ini adalah satu perkara yang saya tidak dapat balas kecuali akan cuba sehabis baik untuk menunaikan manifesto dan janji saya untuk menjadikan Machang sebagai kubu kuat Pas.

“Saya juga harus berterima kasih kepada jentera Pas di Parlimen ini kerana tanpa mereka saya tidak boleh menang. Kerana mereka saya dapat menang dan mampu menawan hati pengundi di sini,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman rasmi penjumlahan undi di Dewan Perpaduan Machang di sini.

Tambah Wan Ahmad Fayhsal, dia juga gembira untuk bekerjasama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di Machang dan akan menjadikan kawasan itu lebih baik dari sebelumnya.

Wan Ahmad Fayhsal memperoleh keputusan 35,603 undi bagi jumlah keseluruhan 162 peti undi.

Undian itu sekali gus menewaskan calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang Parlimen iaitu Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang memperoleh 25,449 undi.

Sementara calon Pakatan Harapan (PH), Dr Rosli Allani Abdull Kadir memperoleh 3,934 undi dan calon Parti Bumiputera Malaysia (PUTRA), Mejar (B) Muhammad Seman memperoleh 128 undi.