ALOR SETAR, 21 Nov – PAS mendakwa sekurang-kurangnya 18 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10, sekali gus bersedia bersama PN.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata Muhyiddin yang memenangi kerusi Parlimen Pagoh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu dijangka mengangkat sumpah di Istana Negara jam 4 petang ini.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar berkata senarai nama individu terbabit akan melalui beberapa prosedur dan perlu dihantar ke Istana Negara sebelum jam 2 petang dan bakal disusuli dengan Majlis Angkat Sumpah Perdana Menteri pada jam 4 petang.

Katanya, PN kini memiliki majoriti gabungan parti dan sokongan daripada Ahli Parlimen BN, sekali gus membolehkan PN nampak cahaya di hujung lorong.

“Doakan supaya semua ini berjalan dengan sempurna seperti diharapkan untuk kita bawa negara ini menjadi prihatin, bersih dan stabil,” katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran PN Kedah di Kompleks Pas Kedah, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi meminta semua ahli Parlimen dan pimpinan UMNO untuk menolak cadangan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN yang mahu bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

“Saya dapat maklumat Ahmad Zahid sedang memaksa Ahli Parlimen BN yang menang dalam PRU15 untuk menyertai kerajaan PH yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama DAP dan AMANAH.

“Buat masa ini tidak ada gabungan yang mahu menyertai mereka kecuali Ahmad Zahid seorang, beliau hanya mahu menyelamatkan dirinya daripada kes-kes mahkamah seperti dijanjikan Anwar dan atas sebab itu beliau mahu memastikan kesemua 30 Ahli Parlimen BN menyokong Anwar,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata Ahmad Zahid sedang mengheret UMNO untuk melanggar ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) iaitu ‘No Anwar, No DAP’.

“Bahaya membabitkan Anwar, DAP dan fahaman-fahaman dikendong perjuangan mereka sudah disebut banyak kali sebelum ini.

“Jadi kalau ahli-ahli UMNO terus merestui tindakan Presiden mereka untuk memaksa Ahli Parlimen BN menubuhkan kerajaan bersama PH, maknanya mereka akan jadi pengkhianat terbesar dalam sejarah umat Islam di negara ini,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media selepas majlis berkenaan, Muhammad Sanusi berkata setiap Ahli Parlimen BN yang menyatakan sokongan kepada Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri tidak akan terkesan dengan sebarang tindakan daripada Akta Anti Lompat Parti.

“Mereka tak perlu melompat parti untuk nyatakan sokongan kepada Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri. Kalau mereka dipecat pun, jawatan sebagai Ahli Parlimen tak akan hilang kerana mereka bukannya melompat ke parti lain.

“Pada dasarnya, mereka tak perlu keluar daripada BN untuk menyatakan sokongan kepada Muhyiddin dan tindakan tersebut tak akan beri kesan apa-apa dalam Akta Anti Lompat Parti,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahmad Zahid bahawa mana-mana Ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti, termasuk kerusi Parlimen, selaras dengan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti seperti yang termaktub di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.