IPOH, 21 Nov – Perikatan Nasional (PN) menyifatkan langkah UMNO mahu menubuhkan kerajaan menerusi kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di Perak ibarat resipi untuk bencana.

Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata keputusan UMNO itu sekali gus mengesahkan ura-ura berlegar sebelum ini mengenai jajaran baharu kerajaan didalangi komponen Barisan Nasional (BN) itu dengan PH.

“Tindakan ini mengesahkan cakap-cakap sebelum pilihan raya pemimpin UMNO sedang mengusahakan suatu bentuk jajaran baharu dengan PH semata-mata untuk kekal berkuasa.

“Kami juga tertanya-tanya di manakah keputusan Perhimpunan Agung Umno ‘No Anwar, No DAP’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan pakatan itu berunding dengan BN bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Ahmad Faizal berkata, beliau hairan bagaimana UMNO boleh berubah pendirian yang sebelum ini jelas menolak bekerjasama dengan Anwar dan DAP bagi membentuk kerajaan.

Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Presiden BERSATU menegaskan, PN Perak tetap dengan pendirian untuk menjadi pembangkang jika gagal membentuk kerajaan negeri dengan mana-mana pihak.

Katanya, mana-mana parti yang mahu bekerjasama dengan PN bagi membentuk kerajaan perlu menerima prinsip perjuangan berpaksikan slogan prihatin, bersih dan stabil dipegang perikatan itu.

“PN Perak tidak akan sama sekali bekerjasama dengan PH yang di dalamnya ada DAP, yang ditolak sebahagian besar orang Melayu atau dengan mereka tercemar dengan masalah rasuah,” katanya.