SHAH ALAM, 21 Nov – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi beliau sudah mendapat bilangan yang cukup untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri, berdasarkan sokongan Ahli Parlimen secara individu.

Beliau menegaskan dalam Perlembagaan, tidak dinyatakan seseorang yang mahu dilantik sebagai Perdana Menteri perlu mendapatkan sokongan parti saja tetapi perlu memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Insya-Allah, esok kita dapat mengemuka akuan bersumpah daripada mereka ini bahawa kita memiliki sejumlah Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Kalau mengikut Perlembangaan, (sokongan) Ahli-Ahli Parlimen. Tak kata daripada parti mana. (Sokongan) individu boleh, secara kumpulan dan parti mereka pun boleh,” katanya selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU di sini, malam tadi.

Beliau ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan BN tidak pernah berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan persetujuan berhubung penubuhan kerajaan bersama PN.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, berkata tiada perundingan dengan PN setakat ini, yang boleh membawa maksud kepada adanya persefahaman untuk membentuk kerajaan dengan gabungan berkenaan.

Muhyiddin berkata, kenyataan Ahmad Zahid itu hanya pandangannya selaku Pengerusi BN.

“Kalau ikut Perlembagaan, seseorang nak jadi Perdana Menteri mesti mendapat kepercayaan daripada majoriti Ahli Parlimen

“Kalau ikut istilahnya, perlu mendapatkan sokongan 112 kerusi. Tak kata daripada parti A,B atau C. Itu hanya mengikut tafsiran Zahid saja (sokongan parti),” katanya.

Ditanya mengenai sejauh mana Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti menyekat individu menyokongnya sebagai Perdana Menteri, katanya, akta itu tidak menghalang sokongan individu kepada beliau.

“Hatta macam tadi bukan semua datang (sokongan) dari PN, GPS, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Ahli Parlimen bebas.

“Memang tidak melanggar peruntukan akta itu. Mereka tak keluar daripada parti tapi mereka secara individu sebagai Ahli Parlimen memberikan sokongan kepada saya,” katanya.