KUALA LUMPUR, 21 Nov – Perikatan Nasional (PN) menafikan dakwaan enggan bertemu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membincangkan pembentukan kerajaan negeri.

Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam kenyataan malam ini, berkata dakwaan Saarani yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu disifatkan sebagai penipuan besar.

Timbalan Presiden BERSATU itu sebaliknya memaklumkan sudah bertemu bagi membincangkan kemungkinan kerjasama PN dan Barisan Nasional (BN) bagi menubuhkan kerajaan Perak, bersama Saarani dan Setiausaha PN negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau menegaskan, PN berlapang dada dan terbuka untuk bekerjasama, namun Saarani yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Perak itu bertegas supaya gabungan berkenaan menawarkan jawatan penting dalam kerajaan negeri.

“Saya juga menyatakan kebimbangan dengan keadaan kerajaan negeri belum membentangkan Bajet 2023 dan kemelut politik mesti dirungkai segera, demi kepentingan rakyat. Beliau memohon untuk merujuk kepada kepemimpinan UMNO sebelum membuat apa-apa persetujuan.

“Namun, beliau dan kepemimpinan UMNO hari ini menyelamatkan jawatan Menteri Besar disandangnya, sambil menipu perwakilan Perhimpunan Agung UMNO lalu dengan slogan ‘No DAP!’.

“Tanggungjawab sebagai Menteri Besar Perak amat besar dan seharusnya sumpah setia jawatan dibacakan dengan kalimah suci tidak disusuli penipuan kepada rakyat,” kata bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

PRU15 menyaksikan PN berjaya menawan 26 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, disusuli PH (24) dan BN (sembilan).