ARAU, 22 Nov – Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli mengakui tidak menjangka dilantik sebagai Menteri Besar Perlis baharu dan menyifatkan pelantikan itu sebagai amanah daripada rakyat yang perlu dilaksana dengan sebaiknya.

Mohd Shukri, 61, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis berkata, beliau bersama wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan bekerja keras bagi memastikan manifesto PN bertemakan ‘Prihatin, Bersih, Stabil’ dapat dilaksana ke arah membentuk ‘Perlis Baharu’.

“Perubahan khususnya dari segi pembangunan ekonomi dan insan seperti yang dijanjikan dalam manifesto PN sebelum ini akan ditunaikan secara berperingkat,” katanya kepada Bernama pada Selasa.

Terdahulu, Mohd Shukri mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, di sini.

Mohd Shukri yang mesra dipanggil ‘Cikgu Shukri’ mengucapkan terima kasih kepada rakyat Perlis atas kepercayaan kepada kerajaan PN untuk mentadbir negeri itu.

Menurut Mohd Shukri, langkah pertama akan dilakukannya ialah bertemu pegawai kanan kerajaan negeri bagi membincangkan perkara yang perlu diteruskan bagi menjaga kebajikan rakyat.

Mengenai pelantikan Exco kerajaan negeri, Mohd Shukri berkata, beliau telah mengenal pasti enam Ahli Dewan Undangan Negeri daripada PAS dan tiga lagi daripada Bersatu untuk dikemukakan pada mesyuarat PN Perlis dalam masa terdekat.

PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar pada PRU15.