KANGAR, 22 Nov – Perikatan Nasional (PN) negeri dijangka akan menggunakan formula lima dan tiga berhubung nisbah pembahagian jawatan dalam barisan Exco Kerajaan Perlis yang baharu.

Menurut sumber dalaman PN negeri, seramai lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS akan dilantik menjadi Exco diikuti tiga lagi daripada BERSATU.

“Pada dasarnya PN sudah mencapai persetujuan secara lisan berhubung nisbah jawatan Exco antara PAS dan BERSATU. Kita akan mengekalkan jumlah Exco seperti pentadbiran (kerajaan negeri ) BN sebelum ini.

“Bagaimanapun, perincian berhubung ADUN mana yang akan dilantik hanya akan dibuat selepas Menteri Besar mengangkat sumpah hari ini.

“Disebabkan kita berjaya memenangi 14 kerusi DUN pada PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) maka ADUN lain yang tidak dilantik menjadi Exco akan dipertimbangkan jawatan lain dalam pentadbiran kerajaan negeri,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Majlis mengangkat sumpah Exco Kerajaan Negeri Perlis dijadualkan berlangsung pada Jumaat di Istana Arau, Arau.

PN berjaya membentuk kerajaan negeri di Perlis apabila memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRU15.

PAS memenangi kerusi DUN Simpang Empat, Santan, Mata Ayer, Sena, Chuping, Beseri, Bintong, Guar Sanji dan Sanglang.

Sementara BERSATU berjaya memenangi kerusi DUN Kuala Perlis, Kayang, Titi Tinggi, Pauh dan Tambun Tulang.