KUALA LUMPUR, 22 Nov – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata gabungan itu menyerahkan dokumen mengandungi akuan berkanun daripada 115 Ahli Parlimen kepada Istana Negara, semalam.

Muhyiddin berkata, dokumen itu dihantar secara dalam talian dan pihaknya juga sudah menerima akuan penerimaan daripada Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Datuk Nazim Mohd Alim.

“Saya nak tunjukkan bukti waktu serahkan (dokumen) mempunyai sejumlah bilangan Ahli Parlimen melebihi 112.

“Sebab itu kami yakin dapat membentuk kerajaan tapi maklumlah bila saya menghadap tadi, dikatakan ini tidak cukup.

“Saya tidak tahu apakah sebab di sebalik itu tapi buktinya ada di sini,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini, hari ini.

Beliau turut menunjukkan surat akuan penerimaan dokumen daripada Istana Negara.