IPOH, 22 Nov – Perikatan Nasional (PN) Perak belum memutuskan siapakah akan mengepalai ketua pembangkang negeri itu selepas ini.

Timbalan Pengerusi PN 1 Perak, Razman Zakaria berkata, segala keputusan berkenaan akan dibuat dalam mesyuarat pada satu tarikh yang diputuskan kelak.

“Kita tak tahu (ketua pembangkang Perak). Biarlah mesyuarat akan menentukan nanti,” ujarnya ringkas kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ditanya sama ada wakil PN atau BERSATU dipilih sebagai ketua pembangkang, Razman juga menyerahkan kepada mesyuarat pucuk pimpinan.

Sementara itu, diminta mengulas gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan negeri Perak semalam, Razman menyatakan mereka tetap berpegang kepada prinsip perjuangan.

“Terpulang kepada UMNO yang bergabung dengan PH, kami tetap ada prinsip,” katanya.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diumum pada Sabtu menyaksikan Perikatan Nasional berjaya menenangi 26 kerusi, BN sembilan kerusi manakala Pakatan Harapan mendapat 24 kerusi.