IPOH, 23 Nov – BERSATU Perak menyifatkan dakwaan tular menyatakan parti itu berebut jawatan Menteri Besar Perak dan akan keluar Perikatan Nasional (PN) sekiranya Menteri Besar dilantik daripada PAS sebagai fitnah besar.

Setiausaha BERSATU Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata tiada seorang pun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BERSATU mengeluarkan kenyataan seperti yang didakwa itu kali gus menyifatkan ia sebagai satu fitnah besar yang berniat jahat serta cubaan menjatuhkan kredibiliti BERSATU.

“Heboh di aplikasi WhatsApp yang mendakwa kononnya Adun PN berebut jawatan untuk menjadi Menteri Besar. Saya memang tidak mahu mengulas isu yang berbangkit sebelum ini tetapi kenyataan yang sedang tular kali ini memang berniat jahat dan cubaan menjatuhkan kredibiliti kami.

“Saya perlu beri penjelasan bahawa tidak ada seorang pun Adun BERSATU pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang didakwa iaitu jika Menteri Besar daripada PAS maka kami akan keluar dari PN, ini satu fitnah besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zainol berkata demikian sebagai merujuk kepada paparan tular mesej di kumpulan WhatsApp kenyataan Ahli Dewan Negara, Tan Sri Mohd Annuar Zaini yang mendakwa kononnya Adun PN berebut jawatan untuk menjadi Menteri Besar.

Kata Zainol lagi, jika benar kenyataan terbabit sememangnya datang daripada Mohd Annuar sendiri maka ia sesuatu yang amat menyedihkan berikutan Annuar selaku individu yang mempunyai kedudukan tinggi di istana.

“Kami dalam perjumpaan di istana sudah memaklumkan kepada Tuanku (Sultan Perak, Sultan Nazrin muizzuddin Shah) bahawa kami hanya mempunyai 26 wakil rakyat sahaja dan kami reda, janganlah mengaibkan kami seperti ini,” katanya.

Menerusi mesej WhatsApp yang tular, Mohd Annuar dikatakan mendakwa PN di Perak berebut sesama sendiri jawatan Menteri Besar sedangkan Sultan Nazrin mahukan kerajaan Perak ditubuhkan segera bagi soal pembentangan Bajet Perak sebelum musim banjir melanda.

Berdasarkan mesej sama juga, Annuar dikatakan mendakwa Pakatan Harapan membuat pengorbanan besar menerima syarat Barisan Nasional bagi jawatan Menteri Besar, perlantikan tiga Exco Perak dari BN, Speaker Dun serta menggugurkan tuntutan hak milik tanah 999 tahun.