KUALA LUMPUR, 23 Nov – Sekumpulan anggota daripada gabungan NGO Melayu-Islam Se-Malaysia memohon perkenan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menggunakan kebijaksanaan baginda bagi menyelesaikan kemelut Parlimen yang tergantung ketika ini.

Wakilnya, Mohd Ashraf Mustaqim berkata, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah menjadi menifestasi kemahuan orang Melayu dan Bumiputera bagi mengangkat kepimpinan yang bersih dan stabil.

Disebabkan itu katanya, masyarakat Melayu, Islam khususnya telah beralih kepada gabungan yang membawa aspirasi tersebut.

“Adalah diharapkan patik sekalian ini ke atas titah Tuanku untuk tidak membiarkan suara pemimpin Melayu Islam dan Bumiputera menjadi minoriti di bawah kerajaan naungan Tuanku,” katanya kepada pemberita pada himpunan di luar Pintu 2, Istana Negara, di sini, hari ini.

Justeru beliau berkata, kerajaan sewajarnya sudah dibentuk dan pembentukan itu perlulah disegerakan mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan atas budi pertimbangan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong kerana masa panjang yang diambil mampu menjejaskan kestabilan atas faktor sosio dan ekonomi masyarakat.