KUANTAN, 23 Nov – Perikatan Nasional (PN) Pahang meletakkan calon wanita dari Pas, Nor Idayu Hashim, 35, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, surat berhubung calon itu telah diterima daripada Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar.

Menurutnya, Nor Idayu dipilih dalam kalangan pemimpin akar umbi bagi mewakili suara wanita dalam DUN Pahang.

“Calon ini merupakan anak tempatan dari Kampung Pianggu, Kuala Rompin dan sebagai orang muda, beliau berupaya menyelami isi hati pengundi akar umbi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Nor Idayu yang juga ahli jawatankuasa (AJK) Pas Kawasan Rompin dan Ketua Lujnah Penerangan dan Media Baharu Dewan Muslimat Pas kawasan itu mengantikan calon PN sebelum ini, Allahyarham Md Yunus Ramli yang meninggal dunia, 19 November lalu.

Ekoran kematian calon itu, hari pengundian PRU15 bagi kerusi DUN Tioman telah ditangguhkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 November ini sebagai hari penamaan calon dan undi awal pada 3 Disember manakala hari pengundian bagi kerusi DUN itu pada 7 Disember depan.

Nor Idayu dijangka berdepan pertembungan lima penjuru antara calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain; Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH); Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).