ROMPIN, 24 Nov – Calon Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Nor Idayu Hashim, 35 tidak menolak kemungkinan gelombang kebangkitan PN di peringkat nasional dan negeri akan membantu kemenangannya di DUN itu.

Nor Idayu yang juga ahli jawatankuasa Pas Kawasan Rompin berkata, kemenangan di DUN itu masih relevan bagi menambah bilangan kerusi dimenangi PN di Pahang.

“PN kini memiliki 17 daripada 42 kerusi DUN di Pahang dan sekiranya menang di sini (DUN Tioman) bilangan kerusi akan bertambah dengan kelebihan dua kerusi berbanding BN,16 kerusi.

“Sebab itu saya akan memastikan kemenangan PN di sini melalui strategi kempen lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada hari penamaan calon PRU15 bagi DUN Tioman di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Khamis.

Nor Idayu berdepan pertembungan lima penjuru antara calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Semua calon itu disahkan bertanding seperti diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Tioman, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek.

Nor Idayu berkata, sebagai anak tempatan, beliau mengharapkan mandat pengundi di DUN Tioman untuk membawa perubahan di kawasan itu.

“Insya-ALLAH saya akan memperjuangkan kesejahteraan, kebajikan penduduk dan pembangunan Rompin.

“Saya juga akan memberikan perhatian kepada permasalahan penduduk di sini untuk diselesaikan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap pengundi terus bersemangat untuk keluar mengundi termasuk pengundi luar.

“Pengundi luar diharap dapat pulang mengundi dan memberi undi kepada PN,” katanya.

PRU15 DUN Tioman yang sepatutnya berlangsung serentak pada 19 November lalu ditangguhkan berikutan kematian calon PN terdahulu, Allahyarham Md Yunus Ramli.

Hari penamaan calon ditetapkan pada Khamis manakala hari pengundian 7 Disember depan.