KUALA LUMPUR, 24 Nov – Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meraikan petugas media yang menunggu di kawasan kediaman Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan menghantar nasi beriani sebagai makanan tengah hari.

Kira-kira 30 pek nasi berkenaan dihantar oleh wakil Ahmad Faizal kepada pengamal media di Jalan Setia Bakti 2, Bukit Damansara di sini.

Terdahulu, selain Ahmad Faizal, antara pemimpin yang dipercayai tiba di kediaman Muhyiddin di sini adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusoff; Naib Presiden PAS, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Media melaporkan mereka sedang menunggu keputusan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang diadakan di Istana Negara, hari ini.

Perkara itu difahamkan susulan Mesyuarat Khas itu diadakan hari ini bagi membincangkan pelantikan Perdana Menteri Ke-10.

Perbincangan khas itu bertujuan untuk Seri Paduka mendapat pandangan Raja-Raja Melayu bagi membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat.