KUALA LUMPUR, 25 Nov – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan ‘kegagalan’ gabungan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai partinya mentadbir negara sebagai ada hikmah di sebaliknya.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, apa yang penting PN bersikap jujur, sabar dan istiqamah dalam menghadapi apa jua situasi yang berlaku ketika ini.

Namun katanya, Perdana Menteri yang baharu dilantik, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membuktikan sokongan sebenar yang diterima hingga melayakkan beliau memegang jawatan pemimpin nombor satu negara itu.

“Segala yang berlaku telah berlaku, pasti ada hikmahnya. Yang penting kita jujur kepada rakyat, bersabar, dan tetap istiqamah.

“Terima kasih kepada rakyat atas sokongan tidak berbelah bahagi. Kita telah berusaha sedaya upaya. Seterusnya Perdana Menteri perlu membuktikan sokongan sebenar yang diterima,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Tambahnya, meskipun gagal membentuk kerajaan, gabungannya bertekad untuk terus berkhidmat dan menabur bakti kepada negara.

Bagaimanapun, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang akhbarnya pada hari sama mencabar Anwar mengemukakan keabsahan mempunyai sokongan majoriti daripada ahli-ahli Dewan Rakyat melantiknya sebagai Perdana Menteri ke-10.

Jelasnya, bukti tersebut penting bagi mengelak keraguan dan memastikan proses pelantikan itu berpandu kepada Perlembagaan.

Kemelut penubuhan kerajaan Persekutuan dan pelantikan Perdana Menteri bermula apabila keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu menyaksikan tidak ada gabungan parti mendapat majoriti mudah.