KUALA LUMPUR, 25 Nov – Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendakwa kerajaan baharu di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai keabsahan moral.

Ujarnya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu didakwa tetap dilantik sebagai pemimpin nombor satu negara kerajaan disebabkan rancangan bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang menghadapi tuduhan rasuah, sedangkan gabungan yang diterajuinya hanya mendapat 82 kerusi.

“Anwar menjadi PM bukan dengan sokongan majoriti rakyat tetapi melalui pencaturan politik dengan BN, di mana Anwar berjanji kepada rakyat semasa kempen tidak akan bergabung dengan BN yang terpalit dengan skandal dan rasuah.

“Lain daripada (Pengerusi Perikatan Nasional) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang enggan berurusan dengan Zahid, atau pun menggugurkan tuduhan rasuah terhadap beliau semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang jawatan PM,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, pembentukan kerajaan baharu yang meletakkan Anwar sebagai Perdana Menteri juga tidak menggambarkan Kerajaan Perpaduan seperti mana yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kerajaan yang baharu dibentuk dengan Anwar sebagai PM bukan Kerajaan Perpaduan. Ini adalah kerana gabungan politik yang mewakili orang Melayu iaitu PN tidak sebahagian dari kerajaan PH-BN ini yang didominasi DAP, parti terbesar kerajaan baharu dengan 40 kerusi,” jelas beliau.