ARAU, 26 Nov – Enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) Perlis mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) negeri hari ini.

Majlis angkat sumpah membabitkan empat ADUN PAS dan dua BERSATU itu berlangsung di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Bilik Hijau Istana Arau, di sini, selepas masing-masing menerima watikah pelantikan daripada baginda.

Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Majlis turut disaksikan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Perlis, Mohd Radhi Abas dan Speaker DUN Perlis, Datuk Hamdan Bahari.

Empat ADUN PAS yang mengangkat sumpah hari ini adalah Razali Saad (Simpang Empat), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong), Azmir Azizan (Santan) dan Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer).

Dua ADUN mewakili BERSATU pula adalah Izizam Ibrahim (Titi Tinggi) dan Megat Hashirat Hassan (Pauh).

PN membentuk kerajaan negeri di Perlis berikutan kejayaan gabungan itu memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu. PN juga ‘menyapu bersih’ tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau.

Kejayaan mengejutkan itu sekali gus menamatkan penguasaan Barisan Nasional (BN) di Perlis sejak 65 tahun lalu.

Selasa lalu, Mohd Shukri selaki Pengerusi PN Perlis dan Pesuruhjaya PAS negeri yang yang memenangi kerusi DUN Sanglang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar kelapan negeri itu selepas diperkenankan Raja Perlis.