KUALA LUMPUR, 26 Nov – Perikatan Nasional (PN) bersedia merintis bentuk kerjasama lain dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat terjamin.

Namun Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, kerjasama tersebut berbentuk hubungan antara kerajaan dan pembangkang.

“Atas semangat untuk menyuburkan demokrasi serta melaksanakan peranan semak dan imbang yang berkesan di Parlimen, PN berpendirian tidak menyertai kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH).

“PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen serta memastikan tadbir urus kerajaan yang berintegriti dan bebas rasuah selaras prinsip prihatin, bersih dan stabil,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu Muhyiddin turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri susulan tawaran menyertai kerajaan perpaduan kepada PN.