KUANTAN, 27 Nov – Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan ‘gula-gula’ yang ditawarkan Pakatan Harapan (PH) dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan di Pahang bersama Barisan Nasional (BN).

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, walaupun BN masih membisu dalam membuat keputusan sama ada akan bersama PH atau PN, tetapi beliau tidak menolak kemungkinan Datuk Wan Rosdy Wan Ismail akan memilih untuk bekerjasama dengan PH.

Katanya, jika mengikut jumlah yang diperoleh pada pilihan raya umum lalu, PN yang mendapat 17 kerusi wajar diberi peluang mentadbir kerajaan negeri.

“Saya tidak mengetahui apa ‘gula-gula pelincir’ yang PH setuju tawarkan kepada BN.

“Namun, saya berharap tidak ada perkara menyeleweng yang ditawarkan demi kuasa dan jawatan,” katanya pada Ahad.

Beliau menjelaskan PN Pahang mendapat mandat terbesar daripada rakyat Pahang, yang harus dihormati semua pihak.

“Sejak awal, PN sedia berunding untuk membentuk kerajaan Pahang, tetapi bukan dengan PH yang membawa agenda bertentangan dengan kepentingan rakyat.

“Tetapi, BN pula menuntut jawatan Menteri Besar dan mahukan tujuh kerusi Exco dan hanya setuju berikan PN satu kerusi Exco walaupun mereka parti minoriti yang tiada mandat.

“Sifat tamak dan mahu mengetepikan mandat rakyat ini adalah sifat sebenar UMNO-BN yang rakyat perlu sedar,” tegas beliau.

Pahang mempunyai 42 kerusi DUN dan untuk membentuk kerajaan negeri, sesebuah parti perlu mempunyai 43 kerusi untuk majoriti mudah.

PRU lalu, PN mendapat 17 kerusi, manakala BN 16 dan PH lapan kerusi, satu kerusi masih tergantung, iaitu DUN Tioman.