KUALA LUMPUR, 27 Nov – Ketua Armada BERSATU Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tidak berkecil hati terhadap kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang memetik namanya berhubung sokongan 10 Ahli Parlimen (MP) Barisan Nasional (BN) kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini kerana beliau memahami hakikat bahawa bekas Perdana Menteri itu kini berada dalam penjara kerana terbabit dalam kes penyelewengan wang SRC International dan tidak mendapat maklumat terkini.

“Tak apa, kami faham, Najib dalam penjara, susahlah dia nak dapat semua maklumat terkini.

“Tapi itu bukan bermakna kamu ada lesen nak menipu ahli UMNO dan rakyat Malaysia sewenang-wenangnya macam kamu menipu pasal 1MDB sampai jatuh bersalah dan dihukum penjara,” katanya dalam kenyataan, lapor Agenda Daily.

Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu yang menang kerusi Parlimen Machang itu turut bertanya kepada Najib kenapa tidak mengulas tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang cuba menipu Yang di-Pertuan Agong.

“DYMM YDP Agong pun tak persoalkan langsung tentang surat sokongan tersebut. Jadi kenapa Najib nak persoalkan? Oh ya, Najib tak nak ulas tentang penipuan Presiden UMNO, Zahid Hamidi terhadap YDP Agong?

“Kononnya kata Zahid ada 30 Ahli Parlimen BN telah menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, walhal kesemua ahli Parlimen BN tersebut langsung tidak tahu-menahu tentang perkara itu.

“Sudahlah bohong rakan-rakan dalam parti, YDP Agong pun dia bohong! Derhaka sungguh,” katanya sambil mengingatkan bahawa sokongan kepada Perdana Menteri adalah hak individu, bukannya blok parti.

Wan Ahmad Fayhsal juga berkata, admin Facebook Najib tidak faham mengenai pindaan Perlembagaan mengenai larangan bertukar parti yang langsung tidak melarang ahli Dewan Rakyat memberi sokongan secara individu.

“Dalam Perlembagaan pun disebut, sokongan majoriti kepada Perdana Menteri adalah daripada kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat, langsung tak sebut ia perlu mengikut parti yang diwakili oleh ahli Dewan Rakyat tersebut.

“Adakah Najib dan penyokong Zahid lupa yang meminta akuan bersumpah setiap ahli Parlimen adalah Istana Negara sendiri melalui surat Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Mantan Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga sudah nyatakan perkara ini dengan jelas. Beliau berpendapat yang sama.

“Jadi tidak timbul soal curi ahli Dewan Rakyat dan sebagainya. Mereka yang memberi sokongan kepada YB Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah secara sukarela bukan secara paksa.

“Tak tahulah kalau Najib faham beza antara perkataan ‘sukarela’ dan ‘memaksa’. Akta antipindah parti tidak menjadikan seorang ahli Parlimen seperti robot atau “rubber stamp” untuk parti politik,” katanya.