PERMATANG PAUH, 27 Nov – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mat Jan berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak ‘meminggirkan’ kawasan Parlimen itu yang kini dikuasai Perikatan Nasional (PN).

Katanya, harapan itu dinyatakan selari dengan prinsip keadilan yang diperjuangkan Anwar selama ini selain hasrat Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu untuk melihat kesejahteraan dalam kalangan rakyat.

“Semua sedia maklum Permatang Pauh merupakan (kawasan) legasi beliau (Anwar dan keluarga). Jadi, mudah-mudahan, Permatang Pauh juga akan menjadi satu tempat yang mendapat perhatian beliau,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri program Kenduri Rakyat bagi meraikan kemenangan PN di Permatang Pauh yang turut dihadiri oleh ribuan penyokong Pas dan PN selain penduduk setempat di Kubang Semang, di sini.

Muhammad Fawwaz melakar kejutan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas menumbangkan legasi Anwar di Parlimen Permatang Pauh iaitu anaknya, Nurul Izzah Anwar dengan majoriti 5,272 undi apabila meraih 37,638 undi berbanding Nurul Izzah yang juga penyandang kerusi tersebut dengan 32,366 undi.

Mengulas mengenai kejayaan luar biasa itu katanya, ia mungkin berlaku disebabkan pengundi di Permatang Pauh yang inginkan perubahan.

“Insya-Allah, kita akan cuba laksanakan pendekatan seperti di Kelantan (pentadbiran kerajaan Pas Kelantan) di Permatang Pauh ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap pendekatan tersebut diterima baik termasuk dalam kalangan penduduk bukan beragama Islam di kawasan Parlimen berkenaan yang sebelum ini dimomokkan dengan dakwaan akan terpinggir jika Pas berkuasa.

Dalam perkembangan berasingan, Muhammad Fawwaz yang juga Ketua Pemuda PN negeri percaya Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang yang dijadual sebelum pertengahan tahun depan akan menyaksikan banyak saingan melibatkan satu lawan satu memandangkan BN kini memutuskan untuk bekerjasama dengan PH.

“Jadi, saya menjangkakan (PRN di Pulau Pinang) akan sengit. Tapi, nak katakan PN berada dalam suasana selesa saya tak berani. Nak sebut BN dengan PH selesa pun saya tak pasti. Akan jadi 50-50 (seimbang). Bergantung kepada kempen dan gerak kerja juga,” ujar beliau.