PADANG SERAI, 27 Nov – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai amat penting untuk Perikatan Nasional (PN) mengetahui sejauh mana gelombang gabungan itu disokong rakyat.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata pengundian kawasan itu akan jadi kayu pengukur selepas PRU15 pada 19 November lalu.

“Ia akan menjadi kayu ukur sejauh mana gelombang yang dikatakan menyokong PN itu benar-benar wujud, bagi saya penting untuk memastikan gelombang itu kekal sehingga hari mengundi dan selepas itu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan santai dengan orang ramai bersama calon PN Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin di Taman Mahsuri, hari ini.

Justeru, Wan Saiful mencadangkan agar kerajaan Kedah mengisytiharkan cuti umum pada 7 Disember ini bagi memudahkan pengundi di Parlimen Padang Serai, memandangkan hari berkenaan adalah hari bekerja yang berkemungkinan ramai tidak dapat keluar mengundi.

“Saya agak bimbang kerana hari mengundi adalah hari bekerja. Jadi saya mencadangkan kerajaan negeri untuk pertimbang isytihar hari mengundi itu sebagai cuti umum bagi seluruh negeri Kedah,” katanya.

Beliau berkata, amat penting untuk memastikan peratusan keluar mengundi tinggi kerana jika sebaliknya ia akan merugikan PN kerana ia berkemungkinan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

PRU15 kawasan itu ditangguhkan kepada 7 Disember ini susulan kematian calon PH sebelum ini, mendiang M. Karupaiya pada 16 November lalu yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kulim.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, PN menghargai titah cadangan Yang di-Pertuan Agong mengenai Kerajaan Perpaduan tetapi pada masa sama demi kebaikan negara, PN perlu menjadi pihak yang melengkapkan proses semak dan imbang yang berkesan di Parlimen.

“Kita berpandangan ini bukan Kerajaan Perpaduan tetapi ia adalah kerajaan PH. Kita menolak DAP bukan atas dasar perkauman, tetapi ini adalah kerana agenda dibawa DAP adalah berteraskan fahaman kiri.

“DAP sendiri tidak pernah nafi perkara ini, kalau dia tidak mahu bercakap mengenai agenda perkauman dia kena berhenti mendakwa orang yang tidak bersetuju dengannya semua atas dasar perkauman kerana mereka yang memainkan sentimen perkauman iaitu kononnya kalau tolak DAP rasis,” ujarnya.

Tambahnya, masa depan negara kini terletak pada PN selain faktor gelombang anak muda yang menyokong gabungan itu serta orang muda yang menjadi calon PN membawa aspirasi pemimpin baharu yang ditawarkan untuk mebawa Malaysia ke arah lebih baik.