KOTA BHARU, 27 Nov – Semangat federalisme serta perpaduan antara kerajaan Persekutuan dan negeri yang diamalkan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini wajar diteruskan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed, konsep federalisme yang diamalkan itu mewujudkan kerjasama rapat yang seharusnya dipraktikkan oleh kerajaan baharu pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Konsep federalisme ini penting, kita lupakan sejarah lama dan harus memandang ke hadapan.

“Kita mengharapkan keadilan dan ihsan di pihak kerajaan Pusat di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan hubungan erat dan kemajuan di Kelantan serta negeri negeri kurang membangun dapat diteruskan.

“Menjadi satu sejarah dan kenangan manis buat Kelantan dan rakyatnya apabila lima menteri penuh dan tujuh timbalan menteri menganggotai Jemaah Menteri (dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan sebelum ini) sekali gus menyaksikan banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi persidangan DUN Kelantan (Pembentangan Belanjawan 2023) di sini hari ini.