KUALAL UMPUR, 28 Nov – Perikatan Nasional (PN) memilih untuk menjadi pembangkang bagi memastikan kestabilan politik negara dapat dikekalkan.

Ketua Penerangan PN Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais berkata, walaupun PN tidak menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), gabungan itu tetap komited untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Kami memilih untuk menjadi pembangkang kepada kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan kestabilan politik dapat dikekalkan, kerana pembangkang adalah faktor penting dalam memastikan suara rakyat didengari dengan lebih lantang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Mahathir, menjadi sebuah parti pembangkang penting dalam membawa suara kesakitan dan penderitaan rakyat.

“Inilah yang mereka maksudkan dengan kestabilan politik dan keperluan untuk menjadi pembangkang untuk PN adalah satu kemestian,” katanya.

Tambahnya, suara penyokong PN juga tidak akan diketepikan hanya kerana PN tidak mentadbir negara.

“Kita masih ada di sini untuk terus berjuang dan memastikan Malaysia terus aman dan makmur dalam setiap aspek demi generasi akan datang,” katanya.