ADA pihak yang mempertikaikan keputusan Perikatan Nasional (PN) untuk tidak menyertai kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Jawapannya mudah. Ini kerana PN dan PH mempunyai dasar yang berbeza. Di dalam manifesto PN tidak ada janji untuk mengiktiraf UEC. Tetapi di dalam manifesto PH ada janji tersebut.

Jadi, bagaimana keadaannya jika dua parti yang berada di dalam kerajaan yang sama mempunyai dua dasar yang berbeza? Dasar mana yang hendak dipakai? Dasar parti A atau dasar parti B?

Stabilkah kerajaan itu apabila penyokong parti A desak supaya janji ditunaikan, dan penyokong parti B desak jangan ditunaikan kerana ia bertentangan dengan dasar parti?

Saya ingin menghimbau sedikit mengenai isu UEC berdasarkan pengalaman saya ketika berkhidmat dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pegawai Khas Kepada Timbalan Perdana Menteri yang ditugaskan untuk melihat isu-isu berkaitan pendidikan.

Dasar kerajaan pada ketika itu adalah untuk tidak mengiktiraf UEC kerana ia dilihat bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Pengajaran, kurikulum dan peperiksaan UEC yang ditadbir oleh Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia atau Dong Zong adalah di luar kawalan dan pemantauan kerajaan. Mereka menentukan sendiri kurikulum, silibus dan buku teks yang diguna pakai.

UEC tidak tertakluk kepada kehendak Dasar Pendidikan Kebangsaan dari segi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Kebangsaan, Sejarah, budaya dan pembentukan identiti kebangsaan dalam pembinaan negara bangsa.

Ini berbeza dengan peperiksaan-peperiksaan awam yang lain seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang dikelola oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia atau Majlis Peperiksaan Malaysia yang patuh kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Dalam satu pertemuan antara Dong Zong dan Tan Sri Muhyiddin ketika itu, isu pengiktirafan UEC dibangkitkan oleh Dong Zong. Jawapan Tan Sri Muhyiddin adalah mudah. Jika Dong Zong boleh menilai semula kurikulum, silibus dan buku teks yang diguna pakai agar selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, maka permintaan tersebut boleh dipertimbangkan.

Oleh kerana saya diminta melihat isu ini, saya telah meminta pegawai Kementerian Pendidikan untuk mengkaji kandungan buku teks yang diguna pakai di sekolah-sekolah persendirian Cina yang melaksanakan peperiksaan UEC. Saya agak terkejut melihat kandungan buku sejarahnya. Dalam bab budaya orang Melayu, dipaparkan gambar orang-orang Melayu mengelilingi ka’abah ketika mengerjakan fardu haji di Mekah dengan memakai baju Melayu bersampin dan wanitanya berbaju kurung.

Lantas saya beristighfar. Inikah budaya masyarakat Melayu yang diajar kepada anak-anak di sekolah-sekolah persendirian Cina? Sah mereka tidak memahami latar agama dan budaya masyarakat Melayu dengan mendalam. Bagaimana kita ingin memupuk semangat perpaduan dan inklusiviti dalam sebuah masyarakat majmuk sekiranya apa yang diajar kepada anak-anak mengenai agama dan budaya kaum lain pun salah?

Saya membelek beberapa helai muka surat buku tersebut dan membuat kesimpulan jika pun sijil UEC hendak diiktiraf oleh kerajaan, keseluruhan kurikulum, silibus dan buku teks UEC mesti dinilai semula.

Malangnya, Dong Zong tidak mahu membuat apa-apa perubahan. Kerana itu UEC tidak diiktiraf untuk kemasukan ke universiti awam dan perkhidmatan awam.

Pada ketika itu, pengiktirafan UEC hanya terhad kepada kemasukan ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) khusus untuk kursus Bahasa Mandrin. Itupun disyaratkan calon mesti mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

Ketika saya berada di dalam kerajaan PH, isu UEC berbangkit lagi. Saya masih ingat seorang Menteri DAP mempersoalkan kenapa sijil UEC tidak diiktiraf oleh kerajaan? Saya menceritakan kepadanya pengalaman saya di atas.

Dia kata tidak adil UEC tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia sedangkan sijil UEC diiktiraf oleh universiti-universiti di luar negara.

Saya beritahu dia samalah dengan sijil Sekolah Agama Rakyat atau Sekolah Agama Negeri seperti Sijil Tinggi Ugama (STU). Sijil ini diterima untuk kemasukan ke universiti-universiti di Timur Tengah tetapi tidak diterima untuk kemasukan ke universiti-universiti awam di Malaysia. Sehinggalah Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang dikelolakan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia diperkenalkan, barulah boleh digunakan untuk kemasukan ke IPTA tempatan.

Saya cadangkan model yang sama untuk UEC. Dia diam. Saya tahu dia tidak setuju.

Saya tidak pasti apa dasar Barisan Nasional (BN) sekarang mengenai pengiktirafan UEC. Saya lihat dalam manifesto BN tidak ada janji untuk mengiktiraf UEC.

Adakah BN akan bersetuju dengan desakan supaya UEC diiktiraf memandangkan parti itu adalah minoriti dalam kerajaan pimpinan PH, iaitu hanya mempunyai 30 daripada 148 kerusi? Mampukah BN menyekat desakan ini kerana kalau BN tarik handbrake sekalipun, kerajaan pimpinan PH tidak jatuh kerana masih mempunyai 118 kerusi.

Ini dasar mengenai UEC. Apa jadi dengan dasar-dasar lain yang saya tahu menjadi agenda tetap DAP ketika saya berada di dalam PH? Terdapat tekanan terhadap dasar-dasar lain yang menjadi “the last straw that broke the camel’s back” sehinggakan BERSATU memutuskan untuk meninggalkan PH pada ketika itu.

Itu kita cerita lain kali lah.

Penulis Datuk Dr Marzuki Mohamad merupakan mantan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Berita BERSATU.