PADANG SERAI, 29 Nov – Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin telah dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung dakwaannya mengeluarkan kenyataan mempunyai unsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dalam kempen ceramahnya baru-baru ini.

Azman mengesahkan perkara itu berkata, keterangan tersebut dibuat di Balai Polis Hi-Tech, Kulim di sini pada jam 12 tengah malam pada Isnin.

Mengulas perkara tersebut, Azman menjelaskan bahawa kenyataannya itu disalah erti oleh pihak tertentu dengan mendakwa beliau menghina Yang di-Pertuan Agong.

“Kenyataan saya tidak merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong sebaliknya apa yang saya katakan adalah mengenai prinsip UMNO dalam resolusi Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang sebelum ini memutuskan tidak akan bekerjasama dengan Anwar dan DAP.

“Tapi pimpinan UMNO langgar dan menyebabkan ahli UMNO di bawah marah‚ĶApabila tiada restu daripada ahli dan pemimpin mereka langgar undang-undang parti, saya nak sebut apa? Memang agak kasar sedikitlah,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kempen di Kampung Nesa di sini pada Selasa.

Azman menegaskan, beliau tidak akan membuat permohonan maaf seperti yang digesa oleh beberapa pihak sebelum ini kerana kenyataan beliau hanya merujuk kepada pimpinan UMNO yang melanggar resolusi dan prinsip parti sahaja.

Jelasnya, walaupun apa yang berlaku memberi kelebihan kepada PN, namun beliau hanya ketengahkan suara ahli UMNO yang marah dengan kerjasama politik antara parti itu dengan DAP kerana jelas ideologi mereka yang sangat berbeza.

Pada Isnin calon Pakatan Harapan, Dr Mohamad Sofee Razak menggesa Azman supaya memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong kerana menyifatkan kerajaan perpaduan sebagai kerajaan zina.

Mohamad Sofee berkata, kenyataan Azman itu keterlaluan kerana cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan itu sendiri diilhamkan oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri.