KUALA LUMPUR, 29 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran untuk tidak mengamalkan budaya dendam terhadap penjawat awam.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata jaminan itu penting kerana budaya dendam terhadap penjawat awam tidak boleh dibiar berleluasa di Putrajaya.

“Apatah lagi sekarang ini heboh dikatakan bahawa Rafizi Ramli melobi hebat untuk menjadi Menteri Kewangan. Sekiranya sikap dendam ini dibawa ke kementerian yang sebegitu penting, apa akan jadi kepada pentadbiran negara?

“Mungkinkah peruntukan akan dipotong begitu sahaja jika dia (Rafizi) tidak suka kepada individu tertentu?” soalnya.

Wan Saiful berkata demikan merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sebelum ini yang berkata, Pakatan Harapan (PH) akan mencari’ Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki sekira PH itu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam pada itu, Wan Saiful kesal dengan Anwar kerana gagal memberikan jaminan untuk tidak mengganggu penjawat awam.

“Saya kesal kerana dalam pertemuan pertama Perdana Menteri dengan penjawat awam pagi tadi, beliau gagal memberi jaminan kerajaan PH tidak akan menjalankan witch hunt terhadap pegawai-pegawai kerajaan.

“Kita semua masih ingat bagaimana Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dengan bongkak mengugut akan “mencari” penjawat awam yang menjalankan tugasan mereka. Adakah membalas dendam ini masih lagi menjadi “polisi senyap” kerajaan PH?” tanyanya lagi.