ROMPIN, 30 Nov – Rakyat diingatkan supaya melaksanakan tanggungjawab mengundi setiap kali berdepan pilihan raya, bagi mengelak ia memberi kesan tidak baik kepada negara.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, hakikatnya demokrasi berasal daripada Islam melalui kitab karangan ulama Siyasah al-Syar’iyyah berasaskan pemilihan khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW, kemudian dicedok oleh Barat ketika mereka menjarah tanah air umat Islam.

“Namun, sebahagian umat Islam sendiri mengabaikan tanggungjawab ini apabila ada yang tidak mahu turun mengundi, malah menolak demokrasi secara keseluruhan dengan alasan bahawa demokrasi berasal dari Barat.

“Kesannya, politik dan negara umat Islam dikuasai oleh mereka yang memusuhi Islam atau tidak memahami Islam dengan makna yang sebenar,” katanya menerusi entri di Facebook selepas menghadiri program sembang santai sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman hari ini.

Ketika ini, selain PRU15 bagi kawasan DUN Tioman, Pahang, proses sama sedang berlangsung bagi Parlimen Padang serai, Kedah.

Proses pengundian bagi dua kawasan pilihan raya terbabit terpaksa ditangguhkan susulan kematian seorang calon yang bertanding di dua kawasan itu ketika tempoh kempen dan menjelang hari pengundian.

Abdul Hadi berkata, kesan akibat politik dan negara dikuasai oleh mereka yang memusuhi Islam boleh mengundang pelbagai azab di dunia seperti keruntuhan akhlak, peningkatan jenayah, kemiskinan, kenaikan kos sara hidup dan pelbagai lagi.

Justeru, beliau mengajak umat Islam untuk kembali kepada penghayatan Islam yang hakiki, khususnya dengan membabitkan diri dalam politik demi menjamin masa depan umat dan negara yang lebih baik.

DUN Tioman menyaksikan saingan lima penjuru membabitkan calon PN, Nor Idayu Hashim; Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN); Osman A Bakar (PEJUANG), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Pengundian PRU15 DUN Tioman ditangguhkan selepas calon PN bagi kerusi itu, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada hari pengundian 19 November lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan proses pengundian diadakan pada 7 Disember ini, dengan 3 Disember ditetapkan sebagai hari pengundian awal.

DUN Tioman mempunyai 28,465 daftar pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis, dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.