PADANG SERAI, 2 Dis – Menteri Besar Pahang Wan, Rosdy Wan Ismail diminta tidak memutar belit fakta sebenar di sebalik proses rundingan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, mendakwa PN sangat bertolak ansur ketika mengadakan proses rundingan membabitkan tiga pusingan namun tiada kata sepakat dapat dicapai.

“Pada pusingan pertama masa itu memang belum ada kerajaan di peringkat Persekutuan, jadi hakikatnya ialah kami menyatakan kita tidak mahu membentuk kerajaan dengan PH di Pahang. Yang kedua kita nak membentuk kerajaan negeri dengan BN.

“Ketiga kita kata logiknya kamilah jadi Menteri Besar kerana kami ada kelebihan kerusi dan jika dia (Wan Rosdy) tak selesa menjadi ahli EXCO biasa, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kata kita boleh fikirkan contohnya sekiranya kami membentuk kerajaan Persekutuan boleh bawa dia ke Pusat.

“Ceritanya ialah betapa kami ini bertolak-ansur, itu mesejnya. Maknanya ke situ boleh ke sini boleh asal bukan dengan PH. Jadi Wan Rosdy jangan putar belit cerita.

“Ceritanya betapa kami bertolak-ansur dengan BN, itu cerita yang sebenar,” katanya ketika ditemui selepas berkempen untuk calon PN, Datuk Azman Nasrudin di Taman Mahsuri di sini malam tadi.

Saifuddin diminta mengulas kenyataan Wan Rosdy yang mendakwa rundingan BN dengan PN untuk menubuhkan kerajaan gagal kerana sikap pimpinan PN yang dilihat terlalu mementingkan jawatan.

Sementara itu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota juga mendakwa, Wan Rosdy bersikap sombong selepas hanya menawarkan satu jawatan EXCO kepada PN sebaliknya dua jawatan exco kepada PH.

“Cerita yang sebenarnya juga betapa sombongnya Wan Rosdy apabila dalam rundingan terakhir ketika pertemuan dengan Tuan Ibrahim dia menyatakan BN akan jadi menteri besar, dua jawatan EXCO kepada PH dan satu saja (jawatan EXCO) kepada PN.

“Itu sombonglah, jadi kita kata tak payahlah nak berunding macam mana orang ada 17 kerusi boleh dapat satu EXCO dan orang ada lapan kerusi dapat dua EXCO,” dakwanya.