KUALA LUMPUR, 3 Dis – Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan pengkhianatan terbesar kepada pengundi dan rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai orang nombor kedua berkuasa di Putrajaya.

Naib Pengerusi Sayap Bersekutu BERSATU, Dr Robert Ling Kui Ee berkata Perdana Menteri kerajaan PH-Barisan Nasional (BN) tersebut sanggup membuang prinsip perjuangannya selama ini hanya semata-mata mahu terus kekal berkuasa tanpa menghiraukan kepentingan rakyat dan negara.

“Zahid menghadapi 47 pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi KL. Ini termasuk 12 pertuduhan jenayah pecah amanah, 27 pengubahan wang haram dan lapan pertuduhan rasuah.

“Belum pernah dalam sejarah Malaysia seorang yang menghadapi tuduhan rasuah dilantik ke jawatan kedua paling berkuasa dalam kerajaan.

“Ia juga memalukan mutlak negara kita dan pengkhianatan terbesar kepada semua rakyat Malaysia, baik mereka yang mengundi Pakatan Harapan dan mereka yang tidak mengundi,” kata Robert.

Robert juga membidas Anwar seorang yang hipokrit dan bukan reformis sebenar seperti yang dilaung-laungkannya sebelum ini.

“Ini adalah bukti bahawa Anwar bukanlah seorang reformis sebenar, tetapi seorang yang hanya mahu kuasa dan hanya pentingkan politik peribadi daripada etika dan tadbir urus yang baik.

“Keputusan melantik ahli politik yang menghadapi banyak pertuduhan sebagai sebagai TPM I adalah bertentangan dengan prinsip tadbir urus yang baik.

“Malah ia akan memberi kesan kepada pelabur dan kedudukan kewangan Malaysia yang akan memudaratkan. Isyarat yang dihantar di peringkat antarabangsa ialah Malaysia bertolak ansur dengan rasuah,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, rakyat sekarang sudah dapat memahami mengapa Zahid sangat mahu menyokong Anwar menjadi PH dan DAP untuk membentuk kerajaan pusat sebelum ini walaupun kedua-duanya adalah musuh tradisi politik.

“Sekarang kita tahu kenapa Zahid nekad dan terdesak menyokong PH dan Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan.

“Beliau telah menerima ganjarannya kerana membawa BN ke dalam pelukan PH dan membantu Anwar Ibrahim mencapai cita-cita terdesaknya untuk menjadi PM,” katanya lagi.