KUALA LUMPUR, 3 Dis – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menyifatkan kerajaan yang ditubuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebuah kerajaan yang rapuh atas faktor tidak cukup jumlah majoriti.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, antara jemaah yang dilantik menganggotai Kabinet kerajaan Anwar itu juga terdiri kalangan mereka yang disebut oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) sendiri sebagai perompak dan penyamun.

“Kerajaan yang ditubuhkan ini adalah sebuah kerajaan yang rapuh atas faktor tidak cukup jumlah majoriti.

“Tambahan pula terdapat jemaah menteri yang dilantik merupakan kalangan yang disebut oleh pemimpin PH sendiri sebagai perompak dan penyamun.

“Orang sebegini yang dilantik menjadi menteri. Ini yang berlaku. Kita sabar sekejap. Ini ujian yang Allah SWT berikan kepada kita,” katanya menerusi hantaran di Twitter dan Facebook, hari ini.

Petang tadi, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selesai mengangkat sumpah jawatan Timbalan Perdana Menteri I, manakala Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof dilantik Timbalan Perdana Menteri II.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menggesa semua mengambil contoh perjuangan Baginda Nabi Muhammad SAW dalam usaha menegakkan syariat Islam di Malaysia.

“Rasulullah SAW sendiri pernah diuji apabila turun ayat bahawa Nabi SAW akan memasuki Makkah. Namun apabila Nabi SAW ingin memasuki Makkah dalam peristiwa Hudaibiyah, disekat jalannya.

“Selepas beberapa tahun barulah Nabi SAW berjaya memasuki Makkah dan membebaskannya daripada kekuasaan musyrikin Makkah.

“Marilah kita mengambil contoh daripada perjuangan baginda Nabi SAW ini dalam usaha kita menegakkan syariat Islam di Malaysia,” katanya.